Monday, August 30, 2010

Tema-tema Hari Kebangsaan

1970 - Tema : Muhibah dan Perpaduan







1971 - Tema : Masyarakat Progresif







1972 - Tema : Masyarakat Adil







1973 - Tema : Masyarakat Berkebudayaan Malaysia







1974 - Tema : Sains dan Teknologi Alat Perpaduan







1975 - Tema : Masyarakat Berdikari







1976 - Tema : Ketahanan Rakyat

Lima lembaga manusia melambangkan lapisan rakyat yang berganding bahu membentuk satu tujuan dan cita-cita kemakmuran dan keselamatan negara.

Tema "KETAHANAN RAKYAT" ditulis melengkung di atas menjadikan rekabentuk ini bulat dan bertangkup melambangkan keteguhan negara. Rekabentuk ini juga berupa rebana ubi menggambarkan satu masyarakat yang berkebudayaan.

Bulatan tadi membendung perkataan '31 Ogos' sebagai Hari Kebangsaan. Lima lembaga manusia juga mencerminkan lima prinsip Rukunnegara yang menjadi landasan kepada matlamat negara. Warna yang digunakan ialah warna-warna daripada bendera Malaysia.

1977-Tema : Bersatu Maju

Logo ini bertema "20 TAHUN BERSATU MAJU". Ia mempunyai lima bahagian yang naik meruncing menuju ke atas sebagai tanda kemajuan dan semua bahagian ini semakin rapat untuk membayangkan hasrat rakyat untuk bersatu. Lima bahagian atau tiang yang ada melambangkan lima prinsip Rukunnegara dengan yang di tengah-tengah sekali (yang paling tinggi) menandakan prinsip pertama, yakni kepercayaan kepada Tuhan.

Tiang-tiang lain yang rupa dan bentuk asalnya diambil daripada bentuk hadapan perahu melambangkan empat prinsip rukunegara yang lain, sementara bentuk hadapan perahu dipilih sebagai menandakan teras kebudayaan Nasional yang berasaskan kepada apa yang benar-benar timbul dari bumi negara ini. Bulatan yang mengandungi nombor 20 atau rupa bentuk unsur-unsur kebudayaan itu menandakan 20 tahum selepas merdeka.

Empat tiang diperbuat daripada timah bagi menandakan kemajuan perdagangan dan perindustrian negara ini, sementara tiang yang paling tinggi diperbuat daripada kayu belian (satu-satunya kayu yangpaling keras) bagi menandakan keteguhan bumi Malaysia.

Di kelilingnya pula terdapat sebuah kolam dengan airnya berwarna biru laut bagi menandakan kekayaan hasil laut dan kemajuan para nelayan yang dialami sejak merdeka. Sementara jejambat kecil yang menyerupai petak-petak melintasi kolam membayangkan betapa teguh dan sistematiknya ekonomi pertanian negara ini.

Jadi jelaslah bahawa logo tersebut merangkumi kemajuan segenap sektor kehidupan iaitu lahiriah (Pertanian dan Perindustrian) dan batiniah.

1978-Tema : Kebudayaan Sendi Perpaduan

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan 1978 iaitu, "KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN", logo ini menggambarkan bulan sabit serta bintang berwarna kuning yang diambil daripada sebahagian daripada lambang bendera Malaysia dan memberikan makna sebuah negara (Malaysia).

Di dalam bulatan bulan dan bintang itu terdapat suatu bulatan lagi dalam bentuk ukiran berwarna biru yang mencerminkan kesenian negara dan diikuti pula dengan bentuk kepala dan badan berwarna biru seolah-olah bersendi dan bercantum yang mendedahkan perpaduan rakyat.

Bulatan yang terakhir pada logo ini memberikan gambar rebana ubi berwarna merah/kuning yang melambangkan kebudayaan dan ditengah-tengah sekali kelihatan angka 'XXI' yang memberikan erti 21tahum merdeka.

Ringkasnya logo tahun ini memberikan penerangan babawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengandungi rakyat berbilang keturunan dan mempusakai berbagai-bagai kesenian dan kebudayaan dan di samping itu berjaya menaungi serta memupuk rakyatnya hidup bersatupadu.

1979-Tema : Bersatu Berdisplin

Logo ini berbentuk lima segi dan bulatan di luar melambangkan perpaduan pada keseluruhannya. Lima bulatan kecil berwarna biru melambangkan prinsip-prinsip Rukunnegara dan juga rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Segi lima yang berwarna merah melambangkan kerjasama, perpaduan dan disiplin rakyat yang bersama-sama menuju ke arah matlamat untuk memajukan negara. Matlamat tersebut dilambangkan oleh bulatan-bulatan yang berwarna biru, merah di tengah-tengah bentuk lima segi itu. Bulatan kecil kuning melambangkan kedaulatan raja dan memberikan makna taat setia rakyat terhadap pemerintahan beraja.

Selaras dengan tema tahun ini, logo ini melambangkan rakyat Malaysia daripada berbagai-bagai keturunan dan daripada segenap lapisan masyarakat bersatupadu dan berdisiplin mematuhi amalan-amalan prinsip Rukunnegara dan dengan itu dapat menuju kearah kemakmuran dan keamanan.

1980-Tema : Berdisplin Berbakti

Logo ini melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa yang berdisiplin berpandukan Rukunnegara (bentuk lima segi) dalam mencapai kesejahteraan hidup hari-hari. Bulatan-bulatan yang melindungi di tengah-tengah itu adalah kumpulan-kumpulan berbilang bangsa yang sentiasa bersedia berbakti kepada Raja dan Negara.Bulatan Besar yang melingkumi segala bentuk yang ada itu melambangkan 'bulat manusia kerana muafakat'. Bentuk bulat itu juga menegaskan lagi keutuhan hidup berdisplin.


1981-Tema : Berdisplin Berharmoni

Logo Hari Kebangsaan 1981 ini melambangkan kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh negara kita selama 24 tahun iaitu sejak mencapai kemerdekaan dahulu.

Bentuk yang merupakan tiga orang di sebelah bawah logo melambangkan masyarakat berbilang bangsa yang sentiasa berganding bahu berusaha menampung dan menuju mercu kejayaan dan kemajuan melalui lima tiang yang mencerminkan garis panduan hidup berdasarkan prinsip Rukunnegara. Bulatan-bulatan yang di sebelah atas melambangkan kejayaan dan kemajuan yang berunsurkan politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

1982-Tema : Berdisplin Giat Maju

Logo tahun ini berbentuk bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan. Daripada segi ciri-ciri bunga tersebut ia dapat melambangkan ketahanan yang tetap segar seperti yang telah dibuktikan oleh bunga itu sendiri. Warna-warna yang digunakan adalah warna yang terdapat pada bendera Malaysia.

Lima kelopak bunga tersebut boleh diertikan sebagai lima prinsip Rukunnegara yang membentuk keutuhan negara. Bulatan yang kelihatan menunjukkan keharmonian perpaduan dan kesempurnaan.

Seperti digambarkan warna biru pada angka 25 melambangkan cinta rakyat terhadap negara dan percantuman 25 itu dapatlah melambangkan perpaduan, liku hidup dan pembangunan yang telah dialami oleh negara dalam bidang pembangunan dan kestabilan negara bagi mencapai 25 tahun merdeka dan terus berkembang untuk 25 tahun dan seterusnya pada masa hadapan.

1983-Tema : Bersama Ke Arah Kemajuan

Logo Hari Kebangsaan 1983 ini merupakan anak panah yang memberikan gambaran menuju ke satu arah tertentu, iaitu matlamat kemajuan.

Logo ini melambangkan perpaduan dan kerjasama yang erat antara beberapa golongan rakyat dalam berbagai-bagai bidang. Ini digambarkan melalui tiga simbol empat segi yang terjalin antara satu dengan lain yang di dalamnya mengandungi bulatan-bulatan yang menggambarkan kelompok-kelompok golongan yang terdiri daripada usahawan-usahawan persendirian, golongan swasta dan golongan pentadbiran awam.

Ketiga-tiga golongan ini bergiat untuk membangunkan negara ke arah kemajuan dan didukungi oleh satu petak tiga segi yang melambangkan sokongan pihak Kerajaan terhadap usaha bekerjasama bagi mencapai aspirasi negara.

1984-Tema : Amanah Asas Kejayaan

Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1984 melambangkan tema 'AMANAH ASAS KEIAYAAN'. Bulatan putih di tengah-tengah logo mencerminkan kesucian, kesempurnaan dan keutuhan yang menjadi intisari kepada sifat amanah. Bulatan biru yang dikelilingi oleh rajah kuning biru berbentuk lima segi melambangkan hidup muafakat di antara rakyat berbilang kaum di dalam negara yang berdaulat berserta kerjasama yang erat antara sektor awam dengan swasta yang akan membawa kejayaan di berbagai-bagai aspek.

Manakala lima bentuk merah yang menyerupai anak panah menunjukkan apa-apa yang kita usahakan telah menuju kejayaan dengan pancaran anak panah yang bermula dari bulatan putih sebagai asas amanah serta juga daripada aspek-aspek lain.

1985-Tema : Nasionalisme Teras Perpaduan

Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1985 melambangkan tema "NASIONALISIME TERAS PERPADUAN". Lima bulatan biru yang dikandungi oleh bentuk-bentuk merah melambangkan rakyat Malaysia berbilang kaum daripada berbagai-bagai rumpun bangsa yang bersatupadu manakala bentuk-bentuk merah pula melambangkan semangat nasionalisme yang menjadi teras perpaduan tersebut.

Bulatan putih menunjukkan negara yang bersih dan harmoni.

Bulatan biru di tengah-tengah menunjukkan perpaduan erat di antara kaum menjadikan satu bangsa rakyat Malaysia manakala bulatan kuning melambang negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat. Bulatan merah menunjukkan patriotisme menjadi asas yang penting dalam mengukuhkan perpaduan rakyat yang cintakan negara.

1986-Tema : Bangsa Tegas Negara Teguh

Logo Hari Kebangsaan bagi tahum 1986 ini melambangkan tema "BANGSA TEGAS NEGARA TEGUH". Bentuk-bentuk berwarna biru mencerminkan kesungguhan dan ketegasan negara ini dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara di kalangan masyarakat antarabangsa.

Sikap negara yang teguh dan positif ini hanya dapat diwujudkan dengan adanya sokongan lapisan rakyat Malaysia seperti yang dilambangkan dengan bentuk tiga segi berwarna merah itu.

Warna Kuning di tengah melambangkan kedaulatan raja-raja yang merupakan satu daripada prinsip Rukunnegara.

1987-Tema : Setia Bersatu Berusaha Maju

Logo berbentuk empat segi yang terletak di atas empat bulatan sementara bulatan yang kelima pula terletak di tengah-tengah. Bentuk empat segi melambangkan penekanan dalam empat bidang ekonomi iaitu perumahan, pertanian, pelancongan dan perindustrian.

Kegiatan dalam empat bidang ekonomi ini memerlukan dukungan oleh lima bidang kegiatan yang dilambangkan oleh lima bulatan. Lima bidang kegiatan yang dimaksudkan ialah penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan prasarana kewangan dan keselamatan.

Lima bulatan juga melambangkan Rukunegara.

Warna kuning dalam bulatan tengah membawa erti kesetiaan, warna biru yang mewarnai bentuk empat segi dan lima bulatan melambangkan keharmonian yang wujud di kalangan rakyat jelata yang bersatu padu sementara warna merah pula membawa erti berusaha.

Gabungan warna dan bentuk logo ini melambangkan tema SETIA BERSATU BERUSAHA MAJU.

1988-Tema : Bersatu

Tema "BERSATU" pada bahagian ini yang berupakan tiga kepala dan satu tubuh adalah digambarkan secara grafik, di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum haruslah bersatu bagi mengekalkan perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat yang berjiwa Malaysia.

Lima jalur merah dan putih ini juga membawa erti rangkaian lima prinsip Rukunnegara yang sentiasa diamalkan oleh penduduk negara ini.

Tiga cabang mengistilahkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang menjadi asas pentadbiran kerajaan dan amalan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Warna kuning melambangkan sistem raja berperlembagaan yang membawa rakyat bersatu.

1989-Tema : Bersatu

Keunikan tikar mengkuang yang memaparkan hasil seni anyaman tradisional sejak zaman-berzaman, menjadi aspek penting dalam konsep logo ini.

Petak-petak berwarna-warni ini ibarat 'anyaman' yang kukuh lagi erat, lambang perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Petak-petak berbentuk empat segi merah dan biru menandakan rakyat di negara ini hidup aman damai berteraskan perpaduan nasional.

Bentuk-bentuk ini dipisahkan oleh jalur-jalur putih yang mempunyai erti tersendiri, iaitu jalur yang membawa maksud kebebasan dalam mengamalkan ajaran agama, menentukan adat resam dan kebudayaan serta mengamalkan ajaran agama, menentukan adat resam dan kebudayaan serta kebebasan menyuarakan cita-cita masyarakat.

Petak-petak yang berbentuk empat anak panah yang bertemu di tengah membayangkan satu matlamat ke arah kejayaan berpandukan semangat setiakawan dan berganding bahu.

Sementara empat bulatan kuning mempunyai peranan penting dalam mendukumg sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi.

1990-Tema : Berjaya

Konsep tema "BERJAYA" digambarkan melalui tiga kepala dan tiga tangan yang dilingkungi warna biru melambangkan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang hidup bersatu demi mengekalkan perpaduan serta keamanan untuk memastikan kejayaan Malaysia seluruhnya.

Warna kuning pada bulatan melambangkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang menjamin keutuhan dan kestabilan negara yang seterusnya akan menjamin kejayaan Malaysia.Jalur merah dan putih yang berbentuk tangan menjulang ke atas membawa erti kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan yang menjadi kehendak dan cita-cita negara yang tiada hadnya. Warna ini juga melambangkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang sentiasa menjadi asas pentadbiran negara. Warna biru yang menjadi latar belakang logo melambangkan keharmonian dan kestabilan negara.

1991-Tema : Wawasan 2020

Logo Hari Kebangsaan 1991 ini bertemakan Wawasan 2020.

Anak panah yang terdiri daripada jalur-jalur merah, biru, putih dan kuning melambangkan azam dan tekad rakyat Malaysia yang bersatu padu menyokong usaha ke arah menjadikan negara ini sebuah negara maju.

Bentuk segi tiga berwarna merah mencerminkan sokongan rakyat untuk melipatgandakan daya usaha pengeluaran agar tercapai hasrat tersebut.

Bulatan biru, putih dan merah melambangkan perancangan dan pengawalan yang terakhir iaitu yang berteraskan nilai-nilai yang luhur dan murni dalam usaha mencapai wawasan 2020 (dua puluh dua puluh) itu.

1992-Tema : Wawasan Asas Kemajuan

Rekabentuk Logo adalah berasaskan huruf 'W' dan anak panah. Huruf 'W' merujuk kepada perkataan Wawasan dan tiga anak panah dalam huruf 'W' yang menuju ke atas melambangkan arah dan haluan Wawasan iaitu kemajuan ekonomi, sosial dan kerohanian masyarakat Malaysia dan negara di masa depan.

Warna-warna merah, putih, biru dan kuning iaitu warna-warna Bendera Malaysia yang terdapat pada logo ini adalah sebagai lambang masyarakat berbilang kaum di negara ini yang hidup bersatupadu dan harmoni yang merupakan tunjang utama dalam memastikan kegiatan ekonomi dan sosial dapat bergerak cergas menuju ke arah matlamat yang dicita-citakan.

Secara keseluruhannya, rekabentuk logo ini membawa maksud masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum hidup bersatupadu dan harmoni dalam sebuah negara yang stabil, aman dan makmur sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk menjadikan Malaysia sebuah negara 'maju' di masa depan.

1993-Tema : Bersatu Menuju Wawasan

Rekabentuk: Bentuk hampir bulatan :

Menggambarkan bersatupadu, bekerjasama, bersemangat setiakawan, berharmoni serta bercita-cita tinggi bagi mencapai wawasan.

Warna: Merah dan putih :

Melambangkan keberanian, kecekalan dan mempunyai semangat juang yang mantap dan gigih, kesucian, ketulusan, keikhlasan serta semangat untuk mencapai apa yang di wawasankan.

Biru :

Menggambarkan cita-cita setiap masyarakat Malaysia yang inginkan kemajuan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan menerusi wawasan yang dicita-citakan.

Kuning :

Menggambarkan satu arah serta tujuan yang sama-sama dihasratkan bagi mencapai apa yang diinginkan. Secara keseluruhannya, rekabentuk dan warna-warna di atas melambangkan cita-cita yang tinggi serta perjuangan yang ikhlas lagi jujur bagi mencapai wawasan yang diidam-idamkan oleh setiap rakyat Malaysia.

1994-Tema: Nilai Murni Jayakan Wawasan

Bentuk hati dan anak panah : Nilai murni, bukan hanya terletak pada tingkah laku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati.

Warna putih pada bentuk 'hati kecil' melambangkan kebersihan dan kemuliaan hati dengan sifat nilai-nilai murni.

Warna merah dan biru pada bentuk 'hati besar' melambangkan berbagai kaum dan lapisan masyarakat Malaysia.

Warna kuning pada anak panah melambangkan matlamat dan hasrat masyarakat.

Secara keseluruhannya rekabentuk logo dan warna-warnanya melambangkan nilai murni bukan hanya terletak pada tingkahlaku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Dengan memiliki nilai-nilai murni inilah masyarakat Malaysia menjayakan dan menuju wawasan 2020.

1995-Tema : Jatidiri Pengerak Wawasan

Konsep Logo :

Logo ini berkonsepkan bunga kebangsaan iaitu bunga raya.

Keterangan Rekabentuk :

Bentuk lima kelopak Bunga Raya ini dimaksudkan sebagai lima rangkaian prinsip Rukunnegara. Warna-warna merah, putih, kuning dan biru pada logo tersebut berasaskan warna-warna bendera Malaysia yang melambangkan rakyat Malaysia dari berbilang kaum, agama dan kebudayaan berusaha membentuk suatu jatidiri tersendiri.

Warna putih pada garisan yang mengelilingi kelopak-kelopak bunga membawa maksud amalan nilai-nilai murni oleh rakyat Malaysia telah membentuk keharmonian rakyat.

Warna kuning membawa maksud kedaulatan negara dan wawasan yang hendak dicapai.

Warna merah membawa maksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran di dalam dan di luar negara.

Warna biru membawa maksud rakyat Malaysia bertekad menjadikan negara ini sebuah negara yang maju, harmoni dan sejahtera.

Secara keseluruhannya rekabentuk dan warna logo ini membawa maksud rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan kebudayaan hidup dalam negara yang berdaulat dan harmoni serta bersatupadu membentuk jatidiri kebanggaan negara demi menggerakkan Wawasan 2020.

1996-Tema : Budaya Penentu Kecapaian

Rekabentuk logo mencerminkan realisasi kecapaian negara yang progresif dan inovatif dengan keharmonian pelbagai kaum yang sepakat membina satu budaya yang dinamis. Reka bentuk logo juga mengutarakan semangat waja masyarakat dalam mengejar aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang unggul dari setiap aspek iaitu ekonomi, sosial dan politik.

Warna Warna biru melambangkan rakyat dan Kerajaan bergabung tenaga.Warna merah melambangkan semangat bersama yang membakar dalam setiap jiwa rakyat.

Warna putih melambangkan niat murni rakyat dalam menuju usaha mencapai kejayaan bersama.

Warna kuning melambangkan matlamat yang hendak dituju pada setiap masa iaitu keharmonian pelbagai kaum.

1997-Tema : Akhlak Mulia Masyarakat Jaya

Reka bentuk :

Tangan berdoa dan tiga lapisan hati menggambarkan harapan negara (tangan berdoa) semoga masyarakat berbilang kaum di Malaysia hidup harmoni (tiga lapisan hati), mempunyai akhlak (rohaniah) mulia mengamalkan kesopanan dan kesusilaan diri demi kejayaan negara.

Warna :

Warna putih melambangkan akhlak mulia (hati dan jiwa) dan kuning melambangkan sifat hormat menghormati dan merah melambangkan sifat berani berusaha untuk mencapai cita-cita dan wawasan negara.

1998-Tema : Negara Kita, Tanggungjawab Kita

Menggambarkan aspirasi serta tanggungjawab rakyat membina negara ke arah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan sosial, ekonomi dan politik.

Tiga bulatan merangkumi warna asas Bendera Malaysia berserta bintang 14 bucu melambangkan 13 Negeri dan Wilayah di Malaysia.

Bulatan biru berbentuk lembaga manusia menjunjung wawasan serta kedaulatan negara.

Warna putih melambangkan harmoni rakyat manakala merah mencerminkan usaha padu kerajaan membentuk wawasan negara sementara kuning melambangkan kedaulatan Negara.

1999-Tema : Bersatu Ke Alaf Baru

Menggambarkan rekabentuk seorang insan yang membawa maksud penyatuan minda rakyat Malaysia sejagat mendukung hasrat dan cita-cita murni negara dalam menuju ke alaf baru yang lebih dinamik dan mencabar.

Bentuk kon (V) melambangkan ke arah menuju visi negara 2020. Warna merah melambangkan sifat berani dan yakin diri. Warna biru melambangkan rakyat rakyat bersatu padu membentuk wawasan negara, Warna putih melambangkan kesucian jiwa dan nilai murni rakyat. Warna kuning melambangkan tekad dan kesatuan hati rakyat Malaysia menjunjung kedaulatan negara.

2000-2006 Tema : Keranamu Malaysia

Logo Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke 43 bagi tahun 2000 ini menggambarkan rasa kesyukuran dan terhutang budi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan fahaman politik di atas nikmat keamanan, kemakmuran serta pencapaian cemerlang negara.

Bulatan berwarna biru dan bulan bintang berwarna kuning menggambarkan sebuah negara yang terdiri dari 14 buah negeri di mana Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain bebas dipraktikkan dan rakyat semuanya hidup di dalam keadaan aman, makmur dan bersatu padu.

Warna merah, kuning dan putih berbentuk objek melambangkan tiga kaum utama di Malaysia (Pribumi, Cina, India) menadah tangan bersama (Keranamu : Malaysia) tanda bersyukur, rasa terhutang budi dan bangga mengecapi kemajuan dan kemakmuran di bumi bertuah bernama Malaysia. Seterusnya mereka bertekad untuk meneruskan kecemerlangan ini di masa akan datang yang digambarakan melalui pegangan tangan yang meruncing dan bentuk "V" yang bermaksud vision atau wawasan.


PENGARUH BRITISH DI MALAYSIA


Walaupun telah mencapai taraf negara merdeka yang berdaulat dan bebas, Malaysia masih bergantung ataupun terpengaruh dengan penjajah British terutamanya dalam aspek politik dan ekonomi. Malaysia seperti mana kebanyakan negara-negara Komanwel yang lain mengamalkan corak pemerintahan ala Westminister. Corak pemerintahan Raja Berperlembagaan adalah satu peniruan daripada Great Britain yang mana menjadi pembantu di dalam merangka perlembagaan untuk negara ini. Jika diteliti, perlembagaan yang pernah diperkenalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu seperti Perlembagaan Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu (1948) dan Persekutuan Tanah Melayu (1957), semuanya adalah berasaskan kerangka pemikiran undang-undang British.

Dalam corak pemerintahan Raja Berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong merupakan ketua negara yang mana dipilih salah seorang daripada sembilan orang raja-raja di Negeri Melayu. Sistem ini adalah sama dan ditiru daripada Britain yang juga mengamalkan corak pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mana Queen Elizabeth sebagai ketua negaranya. Selain daripada itu, Malaysia turut mengamalkan sistem Parlimen Dwidewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan negara (upper house). Malah, bukan itu sahaja, kuasa Barat juga bertanggungjawab dalam melakukan perubahan ke atas sistem politik kerajaan yang bersifat feudalisme sebelum ini kepada sistem pemerintahan yang lebih sekular. Penyatuan agama dan petadbiran di bawah satu sistem telah diubah kepada sistem politik kerajaan yang telah memisahkan agama dan pemerintahan di bawah dua pentadbiran yang berbeza. Sehingga kini, Malaysia masih mengamalkan sistem kerajaan yang dibentuk dan diwarisi daripada kuasa Barat tersebut.

Pengaruh British juga dapat dilihat melaui dasar luar yang dilaksanakan oleh negara ini selepas mencapai kemerdekaan. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman, dasar luar negara adalah pro-barat dan anti-komunis. Perlaksanaan dasar luar yang pro-barat dan anti-komunis ini adalah disebabkan oleh soal keselamatan sebagai pemangkin kepada kestabilan dan keaman negara yang difikirkan oleh Tunku Abdul Rahman. Tunku turut didorong oleh keadaan di Tanah Melayu itu sendiri sebelum mencapai kemerdekaan di mana berhadapan dengan ancaman bersenjata komunis. Selain daripada soal keselamatan yang difikirkan oleh Tunku, sebenarnya keperibadian Tunku yang berlatarbelakangkan pendidikan dan pemikiran barat itu sendiri telah mempengaruhi arah dasar luar negara pada ketika itu dan mewarisi pemerintahan bersistemkan demokrasi yang diperkenal dan diperkembangkan oleh Inggeris yang sekaligus memusuhi sistem sosialis-komunis. Hakikatnya, hubungan Malaysia-Britain ternyata berada di peringkat yang terlalu istimewa sehinggakan Malaysia seolah-olah sangat bergantung kepada British. Tunku juga seakan terikat dengan British ketika mengadakan rundingan kemerdekaan.

Selain itu, sewaktu era pemerintahan Tunku juga memperlihatkan keterikatan kerajaan terhadap kuasa British yang dikuatkan dengan beberapa perjanjian serta kerjasama antara Malaysia–Britain dalam bidang pertahanan. Antaranya Perjanjian Pertahanan Britain-Tanah Melayu 1957 ataupun lebih dikenali dengan AMDA (Anglo-Malaya Defence Agreement). Melalui perjanjian ini, British, Australia dan New Zealand dibenar menempatkan tentera mereka di negara ini. Selepas kemerdekaan Tunku Abdul Rahman amat menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Britain.

Dasar Tunku Abdul Rahman yang pro-barat ini sedikit sebanyak telah mengalami perubahan ketika Malaysia mengalami pertukaran tampuk pemerintahan. Semasa pemerintahan Tun Abdul Razak, dasar luar Malaysia lebih bercorak bebas dan aktif. Dasar luar yang dilaksanakan tidak lagi bergantung semata-mata pada hubungan tradisional Malaysia dengan Britain. Sebaliknya, Malaysia telah menjalinkan hubungan luar dengan semua negara termasuklah negara berfahaman komunis dan membentuk sebagai sebuah negara berkecuali. Di zaman pemerintahan Tun Hussien Onn pula, dasar luar yang dijalankan oleh beliau terhadap British amat sukar dinilai. Namun apa yang pasti, dasar yang dilaksanakan tidak lagi terikat sepenuhnya terhadap Britain. Semasa era pemerintahan Tun Mahathir, dasar luar yang diwujudkan lebih bercorak ‘dasar pandang ke Timur’. Jika dinilai secara kritis, di awal kemerdekaan, tidak dapat dinafikan pengaruh Britain lebih signifikan terhadap pembentukan negara bangsa Malaysia.
Pengaruh British juga dapat dilihat melalui pembentukan Perlembagaan di negara ini. Pihak yang bertanggungjawab dalam merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada wakil-wakil British yang diketuai oleh Lord Ried. Suruhanjaya Perlembagaan dibentuk bertujuan menggubal satu perlembagaan yang sesuai untuk digunakan oleh sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan satu dokumen yang agak istimewa. Walaupun perlembagaan itu digubal oleh sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh rakyat asing, tetapi dokumen itu bersandarkan kepada faktor sejarah Tanah Melayu pada masa silam seperti unsur-unsur tradisi yang masih dikekalkan dalam perlembagaan. Begitu juga dengan sistem pemerintahan negara yang bercorak demokrasi, iaitu demokrasi berparlimen. Meskipun konsep demokrasi berasal dari Barat, tetapi dalam sesetengah perkara, unsur-unsur demokrasi sudahpun diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan British. Jadi, perlembagaan serta pentadbiran negara kita bukanlah seratus peratus dicedok dari Barat. Perlembagaan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid itu sendiri mengalami beberapa pindaan dari awal kewujudannya.

Seperti juga dalam bidang politik dan pemerintahan, sistem ekonomi di negara kita juga banyak menerima pengaruh daripada British. Secara umumnya, sistem ekonomi Malaysia adalah berasaskan kepada sistem kapitalisme ataupun laissez-faire yang diadaptasi daripada pihak British. Mereka telah memperkenalkan sistem ekonomi moden tersebut dan menguasai sumber-sumber ekonomi penting seperti perlombongan bijih timah dan ladang-ladang getah sehingga ke hari ini.

Di awal kemerdekaan, dapat diperhatikan bahawa Britain menitikberatkan hubungan luarnya dengan Malaysia untuk tujuan menjaga kepentingan ekonominya. Malaya dianggap sebagai ‘golden goose’ kepada British dan sangat penting terhadap sterling area. Malaysia turut memberikan layanan yang istimewa terhadap British. Segala bentuk pelaburan British dijaga dengan baik. Segala bentuk kontrak dan tender diberi keutamaan kepada syarikat-syarikat milik British walaupun wujud syarikat-syarikat tersebut yang masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran negara. Tidak dinafikan, keuntungan yang diperolehi oleh British melalui penguasaan ekonomi di Tanah Melayu menyebabkan agak sukar untuk melepaskan Malaysia walaupun negara kita telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

Sememangnya, banyak syarikat-syarikat British yang terlibat di dalam sektor ekonomi di Negara kita seperti sektor perladangan, perlombongan, perdagangan, pengangkutan dan juga perbankan. Syarikat-syarikat ini sentiasa mengambil kesempatan untuk terus menguasai ekonomi tanpa memikirkan kepentingan negara kita. Antara contoh syarikat-syarikat gergasi milik British di negara kita yang berkembang pesat ialah seperti Sime Darby, Harisson & Crossfield, Dunlop, Guthrie Corporation dan juga ICI. Tidak dinafikan keterikatan dan kebergantungan negara kita terhadap British dalam sektor ekonomi telah lama wujud. Di awal kemerdekaan, Malaysia telah menjalinkan hubungan luar dengan Britain untuk tujuan pembangunan sumber ekonominya. Britain juga dijadikan sebagai ‘role model’ untuk memodenkan sektor ekonomi di Malaysia yang berasaskan kapitalisme, industri dan teknologi.

Walaupun demikian, Malaysia ketika di bawah pemerintahan Tun Mahathir Mohamad telah bertindak tegas dan berani, mengubah sejarah dan tradisi condong ke Barat, yang telah mencorakkan hubungan luar negeri sejak beberapa tahun lalu. Beliau telah memperkenalkan beberapa dasar baru seperti `Dasar Pandang ke Timur’ dan ‘Buy British Last Policy’. Dasar Pandang Ke Timur diaplikasikan kerana pengurusannya bersifat participative management dan bukannya seperti di barat yang bersifat management by objective. Sesuatu yang perlu dicontohi, Jepun juga boleh berdikari menjadi negara maju walaupun tidak berkiblatkan Barat. Dasar Buy British Last yang telah diperkenalkan pada oktober 1981 oleh Tun Mahathir merupakan satu dasar yang tidak lagi memberikan layanan istimewa terhadap syarikat-syarikat milik British terutamanya dalam pemberian kontrak kerajaan. Hal ini adalah sebagai tindak balas terhadap langkah agresif kerajaan British yang bertindak campurtangan dalam usaha menghalang pelabur-pelabur Malaysia daripada menguasai syarikat-syarikat Britain melalui pembelian saham Guthrie oleh Permodalan Nasional Berhad.


PENGARUH BELANDA DI INDONESIA

Berbeza dengan negara kita, Indonesia memerolehi kemerdekaannya daripada Belanda dengan perjuangan dan pertumpahan darah melalui gerakan-gerakan nasionalisme yang ekstrim. Sebenarnya, di awal-awal kemerdekaan negara ini, dapat diperhatikan bahawa pengaruh Belanda masih kuat apabila masih wujud pelbagai jabatan penting dalam birokrasi pemerintahan yang masih dipegang oleh pegawai Belanda iaitu seramai 6000 orang di jabatan-jabatan seperti Bank Indonesia dan juga jabatan kewangan.

Belanda yang mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk selepas Perang Dunia Ke 2 juga telah menjadikan Indonesia sebagai sasaran untuk kepentingan ekonomi mereka. Indonesia pula terpaksa menerima persetujuan agar perniagaan-perniagaan kuasa kolonial tersebut tetap beroperasi tanpa sebarang halangan dan terpaksa mewarisi segala hutang pihak Belanda. Hasilnya, dikatakan pada tahun 1950, keuntungan yang diperolehi daripada hubungan ekonomi dengan Indonesia seperti industri bahan mentah, eksport, pelaburan dan perdagangan telah menyumbang sebanyak 7 hingga 8% daripada pendapatan kerajaan Belanda. Bukan itu sahaja, sektor-sektor moden Indonesia seperti perbankan, perdagangan dan pengangkutan iaitu meliputi kira-kira 25% daripada Produk Domestic Bruto (PDB) masih dimiliki oleh Belanda.

Walaupun masih terdapat pengaruh Belanda di awal-awal negara Indonesia mencapai kemerdekaan, apa yang menjadikan kemerdekaan negara ini lebih bermakna daripada negara kita ialah proses dekolonisasi yang dilakukan oleh negara ini di bawah pimpinan Soekarno selepas mencapai kemerdekaan.

Proses dekolonisasi oleh Indonesia ini dapat dilihat melalui dasar luarnya. Berbeza dengan Malaysia dengan Britain, Indonesia cuba mengekang pengaruh Belanda daripada terus bertapak di Indonesia dan dapat diperhatikan bahawa hubungan di antara kedua-dua negara ini semakin merosot sejak mencapai kemerdekaannya. Dasar luar Indonesia secara umumnya bersifat berkecuali, antipenjajahan dan menumpukan perhatian kepada kerjasama dalam lingkungan Afro-Asia. Perjuangan menentang penjajahan merupakan aset penting dalam dasar luar Indonesia semasa era demokrasi terpimpin Indonesia. Aspek ini berpunca daripada perjuangan negara itu untuk memperolehi kemerdekaan (1945-1949) dan tuntutannya terhadap Irian Barat daripada penjajahan Belanda. Oleh itu, hubungan Indonesia dengan blok Barat tidak mesra kerana perjuangan Indonesia ini tidak mendapat sokongan daripada mereka. Sebaliknya, negara-negara blok Timur, iaitu Soviet Union dan Republik Rakyat China menyokong tuntutan Indonesia tersebut. Ini menjadikan hubungan Indonesia dengan Blok Timur semakin kukuh. Dalam tempoh yang sama, Tanah Melayu tidak mempunyai hubungan dengan Timur kerana dasarnya yang pro-Barat.

Penggunaan pancasila sebagai satu asas yang penting pelaksanaan dasar negara Indonesia dilihat sebagai salah satu semangat nasionalisme yang tinggi dalam pengisian kemerdekaan Indonesia yang mana matlamat utamanya adalah membentuk satu bangsa Indonesia mengikut acuan mereka sendiri tanpa ada pengaruh atau semangat penjajah. Pancasila merupakan usul daripada pemimpin Soekarno sebagai asas negara yang bakal wujud yang mana dikemukakan sewaktu berlangsungnya sesi pertama jawatankuasa kemerdekaan Indonesia dengan pihak Jepun pada 1 Mac 1945.

Antara semangat yang terkandung dalam Pancasila ialah Ketuhanan Yang Maha Esa, Kebangsaan, Perikemanusiaan, Kedaulatan Rakyat dan Keadilan Sosial. Berbanding dengan Rukun Negara di Malaysia, kita harus mengakui bahawa Pancasila yang dikuatkan dengan slogan ‘Bhinneka Tunggal Ika’ berjaya dan signifikan terhadap semangat sebuah rakyat di negara yang dikatakan merdeka.

Dalam aspek ekonomi pula, Indonesia bangkit untuk mengekang pengaruh Belanda dengan melaksanakan dasar nasionalisasi dalam ekonomi mereka. Aspirasi utama nasionalisme ekonomi Indonesia pada waktu tersebut adalah untuk merombak ekonomi kolonial menjadi ekonomi nasional di mana orang-orang Indonesia menjadi ‘tuan di rumah sendiri’. Walaupun terdapat beberapa halangan,
pada tahun 1958, akhirnya, perusahaan-perusahaan Belanda di Indonesia telah dinasionalisasikan secara rasminya dan statusnya diubah menjadi perusahaan negara. Secara tidak langsung, Indonesia telah berjaya memiliknegarakan semua perusahaan Belanda seperti Java Bank yang telah ditukar nama kepada ‘Bank Indonesia’ pada tahun 1953.


ANALISIS

Jika dinilai secara kritis, selepas kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia mencapai kemerdekaannya, dapat diperhatikan bahawa masih terdapat pengaruh kuasa barat terutamanya dalam aspek ekonomi dan politik. Sebenarnya, pengaruh kuasa barat ini bukan hanya dalam aspek ekonomi dan politik sahaja, malahan juga dapat dilihat dalam pelbagai aspek yang lain seperti bahasa, pendidikan, pertahanan dan juga persempadanan wilayah. Sebagai contoh, di Malaysia, sistem pendidikan adalah mengikut acuan British seratus-peratus. Bukan itu sahaja, malahan sejak kebelakangan ini bahasa Inggeris menjadi semakin dominan di dalam sistem pendidikan di negara Malaysia.

Di Indonesia pula, pengaruh Belanda dapat dilihat dalam aspek pendidikan melalui pengaplikasian bahasa Belanda itu sendiri. Sehingga ke hari, bahasa Belanda masih dipelajari terutamanya di peringkat pengajian tinggi khususnya mahasiswa dan mahasiswi yang mengambil jurusan undang-undang.


KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, pengaruh kuasa penjajah masih jelas kelihatan terutamanya di awal-awal kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia mencapai kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, kemerdekaan secara perjuangan nasionalisme dan pertumpahan darah oleh Indonesia adalah lebih tulen jika dibandingkan dengan negara kita. Ini adalah kerana walaupun pengaruh kuasa penjajah masih jelas kelihatan di awal-awal negara Indonesia mencapai kemerdekaan, namun usaha dekolonisasi di bawah pimpinan Soekarno ternyata telah menggambarkan usaha sekaligus berjaya menjarakkan jurang di antara Indonesia dengan Belanda yang akhirnya berjaya menghapus keseluruhan pengaruh Belanda (kecuali bahasa Belanda) yang hasilnya dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Berbeza dengan Malaysia, kemerdekaan yang diperolehi adalah melalui perjanjian dan tawar- menawar (syarat kemerdekaan) di antara kaum Melayu, Cina dan India dengan penjajah British. Kemerdekaan yang diperolehi oleh negara kita juga adalah hanya pada nama sahaja kerana pengaruh penjajah British terus kekal sejak negara kita mencapai kemerdekaannya sehinggalah sekarang. Walaupun terdapat usaha-usaha pemimpin kita seperti Tun Dr Mahathir untuk beralih daripada pengaruh Barat dengan memperkenalkan beberapa dasar seperti Dasar Pandang ke Timur dan `Buy British Last Policy’ namun ianya tidak berkesan untuk menyakinkan negara kita benar-benar telah berada di luar pengaruh penjajah British. Ini kerana masih terlalu banyak pengaruh penjajah yang masih terus diamalkan di Malaysia sehingga ke hari ini seperti Raja Berperlembagaan dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di semua peringkat sekolah.


Pengaruh Jepun Terhadap Bidang Pendidikan di Tanah Melayu (Malaysia) 1941-



1990-an

ABSTRAK

Banyak kajian telah dijalankan berkaitan dengan hubungan Malaysia-Jepun sejak

Perang Dunia Kedua sehingga kini namun tumpuan masih kurang diberikan terhadap aspek

pendidikan. Kajian ini cuba mengisi kekosongan tersebut dengan memberi tumpuan kepada

dasar-dasar pendidikan Jepun dan kesannya kepada masyarakat Tanah Melayu semasa

zaman pendudukan 1941-45 serta hubungan Malaysia-Jepun selepas 1957. Berasaskan

sumber dokumen dan lisan, pengkaji cuba membongkar kembali pengalaman generasi

1940-an mengenai pengalaman suka duka mereka menerima pendidikan mengikut sistem

dan cara Jepun. Walaupun sistem pendidikan ketika itu dipenuhi masalah dan kelemahan

tetapi sedikit sebanyak faedahnya dapat juga dikecapi mereka lantaran penekanan yang

diberikan kepada pendidikan nilai dan pembinaan disiplin diri. Selepas Tanah Melayu

merdeka pada 1957, hubungan Malaysia–Jepun terus berjalan diatas dasar saling

bergantung namun lebih menguntungkan Jepun terutamanya dalam bidang ekonomi dan

perdagangan. Pada tahun 1980-an, Malaysia melancarkan dasar meniru budaya kerja Jepun

melalui Dasar Pandang Ke Timur bertujuan menjadikan Jepun sebagai model

pembangunan. Di bawah dasar ini, pelajar dan pelatih dihantar belajar dan menjalani

latihan di Jepun bagi membolehkan mereka mempelajari dan mengamalkan budaya kerja

Jepun. Kajian yang dibuat dalam kalangan bekas pelajar menunjukkan mereka mendapat

faedah belajar di sana kerana mempelajari dan dapat mengamalkan budaya dan etika kerja

Jepun di alam kerjaya. Pengalaman mereka hampir sama dengan pengalaman generasi

tahun 1940-an iaitu mempelajari nilai positif dan membentuk disiplin diri bagi membina

pemikiran dan sikap yang baik ke arah kejayaan dalam hidup pada masa depan