Monday, October 11, 2010

Tema-tema Hari Kebangsaan



 2007-TEMA:MALAYSIAKU GEMILANG

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari jalur Gemilang sedang berkibar yang merupakan bendera kebangsaan rakyat Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang melambangkan semangat kecintaan rakyat pada negara. Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima manakala bentuk bulan dan bintang dijadikan angka kosong yang mana ia menjadikan angka 50 yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50. Bahagian di hujung angka 5 terus disambungkan pada stigma bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pada stigma itu diletakan lima titik di hujungnya yang bermaksud lima prinsip Rukun Negara yang menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Bentuk dasar logo adalah bulat yang ‘italic/slanted’ ke kanan. Bentuk ini adalah dinamik yang memberi maksud kemajuan yang pesat yang dialami oleh negara Malaysia sejak 50 tahun mencapai kemerdekaan. Bentuk bulat juga bermaksud rakyat Malaysia berbilang kaum yang bersatu dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang 50 tahun usia kemerdekaan. Warna merah dan putih melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru bermaksud perpaduan yang dijalinkan oleh rakyat. Manakala kuning adalah melambangkan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan juga bermaksud kegemilangan yang dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia.





2008- TEMA: PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”. 3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara. 3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan. Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Petuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.










2009 -TEMA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
  
Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.













2010-TEMA 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI

Melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.


Thursday, October 7, 2010

PENGHAYATAN KEMERDEKAAN

31 Ogos saban tahun dikenali sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa dan agama.
Namun, perkara yang penting dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bagi semua rakyat Malaysia adalah menterjemahkan sambutan ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak akan membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan kemerdekaan yang dikecapi. Kesedaran kemerdekaan bukan saja bermakna tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan. Malah, lebih bermakna sedar bahawa kemerdekaan wajib dipertahankan kerana negara boleh dijajah kembali. Mensyukuri kemerdekaan bukan saja bererti gembira dengan kemerdekaan, malah memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas anugerah kemerdekaan yang begitu berharga ini.
Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh generasi pascamerdeka iaitu menghayati, menyedari dan mensyukuri kemerdekaan yang tidak ternilai harganya ini. Hakikatnya, generasi hari ini tidak melalui kesusahan, kepayahan dan kegetiran zaman sebelum merdeka, baik zaman penjajahan Inggeris mahupun zaman pendudukan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Generasi pascamerdeka mengenali zaman sebelum merdeka hanyalah daripada buku sejarah. Mungkin kerana tidak mengalami erti kemerdekaan sebenar, maka ada generasi pascamerdeka yang mengambil mudah sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Ada yang menganggap tarikh 31 Ogos hanyalah cuti umum semata-mata. Hal ini sangat menyedihkan dan merisaukan  kerana ketiadaan penghayatan kemerdekaan yang sebenar boleh mengundang penjajah kembali ke negara kita.
Kita juga perlu tahu bahawa penjajahan yang boleh berlaku ini tidak lagi sama bentuknya seperti penjajahan ketenteraan suatu masa dulu. Penjajahan bentuk lama ini masih lagi boleh berlaku seperti yang dilihat di sesetengah negara. Hakikatnya, penjajahan bentuk baru mungkin lebih berbahaya. Perkara ini kerana ia mungkin berlaku secara halus, tersembunyi dan tanpa disedari. Antara bentuk penjajahan bentuk baru ialah penjajahan pemikiran, budaya dan ekonomi. Atas sebab ini, maka generasi pascamerdeka ini perlu lebih berhati-hati berbanding generasi terdahulu.
Generasi pascamerdeka yang diracuni pemikiran menerusi penjajahan bentuk baru akan memperjuangkan nilai Barat yang bertentangan dengan nilai Islam dan ketimuran. Tidak wujud lagi sebenarnya peradaban Barat, yang ada mungkin adalah ‘perbiadapan’ Barat yang menjunjung nilai songsang dengan merosakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Keracunan pemikiran akibat penjajahan bentuk baru ini seterusnya akan menyebabkan pencemaran budaya. Rakyat Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adat resam pelbagai bangsa. Keunikan ini akan hilang jika penjajahan budaya yang terkesan daripada proses globalisasi membawa masuk budaya negatif yang membawa kerosakan.
Penjajahan ekonomi juga tidak kurang bahayanya. Mengimbas kembali kegawatan ekonomi pada tahun terakhir 1990-an, kita bersyukur kerana tidak membuat kesilapan yang sama seperti negara lain di rantau Asia Timur dengan menerima ‘ubat’ yang ditawarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia. Namun apa yang disangka ‘ubat’ sebenarnya ‘racun’ yang dijadikan senjata untuk mengawal dan mengongkong kedaulatan sebuah negara merdeka.
Islam sebenarnya memberikan beberapa pendekatan yang mampu untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara. Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh generasi pascamerdeka yang juga majoriti penduduk Malaysia hari ini. Di atas bahu generasi inilah terletaknya amanah dan tanggungjawab untuk memastikan agar negara terus merdeka dan makmur.
Islam turut menganjurkan kita mempersiapkan diri, masyarakat dan negara dengan segala jenis kekuatan. Dalam kata lain, kekuatan yang perlu dibina itu bukan saja daripada aspek ketenteraan, malah ekonomi, politik, sosial dan ilmu pengetahuan. Hanya dengan kekuatan dalaman yang dapat membantu mempertahankan kemerdekaan negara.
Penting bagi generasi pascamerdeka untuk menghayati dan memahami sejarah silam. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka hanyalah kerana perselisihan dalaman dan perebutan kuasa. Akibatnya Portugis menyerang dan berjaya menjajah Melaka. Bermula dari detik hitam pada 1511 itulah, negara terpaksa menunggu 446 tahun sebelum kembali merdeka.
Kita mengambil masa 446 tahun lamanya untuk mendapatkan kemerdekaan. Dan kita baru sahaja merasai nikmat kemerdekaan ini selama 53 tahun. Sanggupkah kita menggadainya sekali lagi?

Tuesday, September 28, 2010

Gambar-gambar Tokoh

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Tun VT Sambanthan


Tun HS Lee

 Tun Abdul Razak Hussein

Tokoh-tokoh Kemerdekaan

ABDUL RAZAK HUSSEIN
Tun Abdul Razak


Jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-2

Tempoh perkhidmatan 22 September 1970 - 14 Januari 1976

Timbalan Ismail Abdul Rahman (1970 -1973)
Tun Hussein Onn (1973 -1976)

Menurut Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Menggantikan Tun Hussein Onn

Parti politik UMNO

Tarikh lahir 11 Mac 1922

Tempat lahir Pekan, Pahang

Tarikh kematian 14 Januari 1976

Tempat kematian London, England

Pekerjaan Peguam

Agama Islam


Allahyaraham Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysiakedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (1971) (NEP) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".
SEJARAH
Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.
Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussein Onn, ialah penggantinya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Dato' Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam menggantikan Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.
PENDIDIKAN
Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.
Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut diEngland, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK), dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden kesatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.
KEMERDEKAAN
Berada di London bersama Tunku Abdul Rahman sebagai anggota Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan dari Britain. Selepas kemerdekaan dicapai, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Bandar.

tokoh-tokoh kemerdekaan

V.T.SAMBANTHAN
Veerasamy Thirunyana Sambanthan


Jawatan :
1. Menteri Buruh
2. Menteri Kesihatan
3. Menteri Tenaga,
Telekom dan Pos
4. Menteri Perpaduan Negara

Parti politik Kongres India Se-Malaysia(MIC)

Tarikh lahir 16 Jun 1919

Tempat lahir Sungai Siput, Negeri Perak

Tarikh kematian 18 Mei 1979

Agama Hindu

Tun Veerasamy Thirunyana Sambanthan (16 Jun 1919 - 18 Mei 1979) ialah Presiden kelima Kongres India Malaya (MIC), sebuahparti politik Malaysia, serta menteri penuh dalam pelbagai kementerian dalam kerajaan Malaysia.





SEJARAH
Dilahirkan di kawasan pedalaman Sungai Siput, Negeri Perak, Sambanthan bersekolah di Sekolah Clifford di Kuala Kangsar, Perak. Beliau amat cemerlang dalam pelajarannya dan kemudian memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Annamalai diIndia Utara.
Sejak kecil lagi, Sambanthan sangat aktif dalam pelbagai kegiatan sekolah dan universiti. Kepimpinannya terserlah apabila dilantik menjadi Presiden pertama Kongres India Malaya (MIC) ketika berusia 36 tahun.
Pada tahun 1955, Sambanthan membawa MIC masuk Parti Perikatan, satu parti campuran antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Beliau bertanding di kawasan pilihan raya Kinta, Negeri Perak. Sambanthan menang dan diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Buruh.
KEMERDEKAAN
Pada 31 Ogos 1957 apabila kemerdekaan dicapai, Tun V.T. Sambanthan merupakan salah seorang dari yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan. Lalu Sambanthan dilantik menjadi Menteri Kesihatan. Seterusnya pada tahun 1959, Sambanthan dilantik menjadi Menteri Tenaga, Telekom dan Pos. Jawatan yang terakhir dipegang oleh Sambanthan ialah Menteri Perpaduan Negara. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet, begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Sambanthan, terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Sambanthan juga turut berjasa dalam menyatukan masyarakat India di Fiji dengan masyarakat pribumi.